Rabu, 15 Januari 2014

MENGENALI SEJARAH SUKU KAUM BISAYA BEAUFORT

Assalamualaikum W.B.T..

Hari ini kita akan cerita tentang sejarah Bangsa Bisaya...

Bangsa Bisaya bukanlah asing untuk diperkatakan tetapi sejarah dan cara hidup mereka di satu lokasi 90 kilometer (km) di selatan Kota Kinabalu, Sabah, sememangnya menarik untuk dikongsi bersama.

Dalam kelembutan bahasa mereka, sebenarnya tersimpan banyak khazanah misteri yang layak diungkapkan mengenai masyarakat Bisaya yang juga satu etnik Islam dengan majoritinya bertumpu di daerah Beaufort, Sabah. Antara keunikan mereka yang diakui ramai adalah fizikal mereka yang tampak seperti orang Cina atau mungkin campuran Filipina. Pendek kata, mereka memang cantik.

Sebelum penulis mendekati mereka, rakan-rakan di Kota Kinabalu sudah menitipkan pesanan. Ada gurauan dan tidak kurang juga yang kedengaran serius.

“Jaga-jaga dengan orang Bisaya. Mereka bukan saja cantik tetapi ilmunya juga tinggi. Ketika di sana, jangan buat perangai tak tentu hala, takut nanti lain pula ceritanya. Ilmu mereka bukan calang-calang, tak senang nak dikesan. Takut nanti, balik ke Semenanjung, terpaksa pula kembali semula ke sini untuk berubat!”

Pasti ramai yang mungkin pernah mendengar cerita mengenai kemaluan berasa ada di dahi dan itulah antara kehebatan yang disebut-sebut dimiliki etnik ini.

Penulis bukan mahu menceritakan sesuatu yang negatif kerana realitinya sudah ramai mengetahui mengenai kehebatan ilmu mereka. Di sebalik cerita negatif mengenai mereka, pada hakikatnya penduduknya mempunyai akhlak yang tinggi dan kuat pegangan agama.

Apa pun, tidak dinafikan kecantikan gadis Bisaya pasti menarik perhatian. Dengan kulit putih dan wajah seperti orang Cina bermata sepet, ia menonjolkan keayuan dan kelembutan tersendiri. Tambah unik kerana raut wajah mereka tidak sepenuhnya seperti orang Cina tetapi lebih menarik.

Berbeza versi cerita menakutkan mengenai kehebatan ilmu kebatinan mereka, realiti yang dapat dilihat ialah orang Bisaya ramah dan berbudi bahasa. Kita pasti leka apabila bersembang dengan sesiapa saja di situ, tidak kira yang muda mahu pun tua. Tiada seorang pun yang lokek melontarkan senyuman.

Etnik Bisaya bukan saja ada di Beaufort, tetapi boleh ditemui di Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, majoritinya berkampung di Beaufort dengan jumlah masyarakatnya melebihi 50,000 orang.

Di Beaufort, masyarakat ini mendiami kawasan Klias dan sepanjang tebing Sungai Padas. Di Klias pula, mereka mendiami kawasan perkampungan seperti Kampung Kebatu, Kukut, Kabidang, Takuli, Malabau, Kota Klias, Klias Kecil, Laba dan Nukahan.

Di sepanjang Sungai Padas pula, mereka mendiami kawasan Kampung Malalugus, Luagan, Mempagar, Limbawang, Pintas, Lubak, Lupak, Batandok, Beringin, Gadong, Kepawa, Garama, Silaun, Lawa, Kebajang, Lago, Suasa, Padas Damit, Jabang dan Bangkalalak, manakala di Kuala Penyu, penempatan mereka ialah di Kilugus, Manggis, Sinapokan, Siaun, Malikai dan di pekan Menumbok.

Dalam daerah Sipitang, sebahagian kecil mereka mendiami kawasan Sindumin, Mesapol serta di pekan itu sendiri. Di daerah lain pula, kebanyakannya berada di Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Labuan, bandar lain seperti Tawau, Sandakan, Keningau, Kudat dan di pekan kecil seperti Kota Belud, Ranau, Tenom, Papar dan Membakut.

Meskipun masyarakat ini banyak di lokasi lain di Sabah, mereka juga ada di Sarawak. Namun, peninggalan sejarah serta cerita mengenai mereka lebih tepat diperoleh daripada masyarakat di Beaufort kerana menurut ‘orang lama’ di situ, beberapa lokasi sekitar daerah itu menjadi titik tolak perkembangan masyarakat Bisaya di Sabah, malah kisah mengenai kehebatan mereka juga berakar umbi di situ.

Menurut kepercayaan orang tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Mabisa Iya” yang membawa maksud seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta cantik. Sebutan itu kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga hari ini.

Versi lain yang memetik Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada 1956 ialah perkataan Bisaya kemungkinan berasal daripada Empayar Srivijaya (Sonza, 1972). Pada 1960, John Carol menyatakan perkataan Bisaya berasal daripada pahlawan yang bernama Sri Visaya. Derek Headly (1950) pula menyatakan Sultan Brunei ketika kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda menyebut: “Bisai-Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya ketika melihat gadis di situ.

Masyarakat Bisaya boleh dikatakan majoritinya beragama Islam. Mereka hidup dalam kawasan kampung terancang dan menjalankan aktiviti pertanian, selain ada yang mengusahakan produk sagu kerana hampir semua masyarakat Bisaya gemar memakan sagu, malah menjadikannya sebagai makanan asasi pula menggantikan nasi.

Melihat taraf dan kualiti hidup mereka di sekitar Beaufort, nampak jelas kebanyakan mereka mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, malah ramai juga hidup mewah kerana menceburi bidang perniagaan, selain sektor pertanian juga memberi pendapatan lumayan.

Dalam kemewahan dan keselesaan hidup itu, mereka utuh mempertahankan budaya masyarakat Bisaya kerana masih ada kumpulan kebudayaan bergerak aktif memainkan alat muzik seperti kulintangan dan gambang, malah mempunyai rutin latihan mereka sendiri di lokasi khusus.

Bisaya bukan masyarakat terpencil kerana realitinya mereka mempunyai sistem pengurusan yang mantap. Dalam kalangan masyarakat itu, sudah ada yang menjadi pemimpin dalam pelbagai badan politik dan bukan kerajaan. Sebagai contoh, siapa tidak kenal Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang turut bertindak sebagai Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).

Persatuan itu juga bergerak aktif dengan jawatankuasa yang dilantik dan dirombak setiap kali mesyuarat agung, selain tidak pernah gagal menganjurkan keramaian Adau Janang Gayuh setiap 15 Julai yang membawa maksud hari besar pemimpin sebagai satu simbol penghormatan serta mengenang jasa pemimpin masyarakat itu pada masa lalu hingga kini.

Lebih kurang begini lah pakaian tradisi Bisaya Beaufort










Tiada ulasan:

Catat Ulasan